Sebuah kafe ‘specialty’ yang membawa nafas baharu, Sulb, Kedah

Sulb merupakan sebuah kafe ‘specialty’ yang membawa nafas baharu ke Alor Setar, Kedah. Ianya terletak di penghujung sebuah blok bagunan di mana pelanggan baharu mungkin mempunyai sedikit masalah mencari kafe ini kerana anda perlu melalui sebuah pintu kecil yang untuk mengakses lif yang membawa pelanggan ke tingkat dua di mana terletaknya kafe tersebut. Namun anda tidak perlu risau, terdapat beberapa papan tanda yang membantu anda menavigasi ke kafe tersebut.

Kredit Imej: Iqbal Sukor

Kafe Tema Minimalis

Terbuka sahaja pintu lif, anda akan terus nampak kaunter pesanan kafe tersebut dan sebuah ruang yang agak besar. Kehadiran pelanggan yang agak ramai barangkali disebabkan kafe ini baru sahaja dibuka dan ia merupakan hari minggu dimana warga kota keluar mencari secawan kopi untuk dinikmati. Kafe ini mengenakan tema industri-minimalis yang diminati ramai pada zaman moden ini. Ianya kelihatan kemas tapi juga ‘simple’. Di sebelah kaunter pesanan, terdapat penyejuk dengan pelbagai variasi kek dan dihujung pula tempat penyediaan kopi. Di situ anda akan melihat mesin La Marzocco beserta pengisar Conti bagi espresso dan pengisar Mahlkonig untuk tuang lalu. Terdapat juga sudut penyediaan kopi tuang lalu yang dilengkapi dua penimbang tuang lalu, sebuah gooseneck kettle, pengisar tangan Kinu dan beberapa pilihan biji kopi dengan markah 80 ke atas.

Berbagai Pilian Biji Kopi dan Cara Membancuh

Kopi yang dipesan adalah caffe latte panas dan juga kopi turas cara tuang lalu. Bagi minuman espresso, barista menggunakan penimbang bagi setiap espresso yang dihasilkan bagi mengekalkan konsistensi pada setiap cawan. Caffe Latte nya dihidangkan dengan latte art yang sangat menarik. Rasanya pula sangat lah sedap. Campuran biji kopi Rwanda Kamonyi dan Costa Rica don Claudio memberikan aroma kopi yang lembut yang sangat serasi dengan susu yang digunakan. Rasanya sangat seimbang denga rasa kopi yang lebih dominan disulami sedikit kemanisan dari susu yang juga memberikan sedikit rasa pekat di mulut. Sangat sedap!

Bagi kopi tuang lalu pula, anda akan diberikan beberapa pilihan biji kopi. Jangan risau, barista akan memberikan informasi tentang setiap biji kopi dan juga memberikan rekomendasi yang terbaik buat anda. Biji kopi yang telah disarankan dan juga yang paling menarik bagi saya adalah Indonesia Ijen Dandy Carboni Maceration yang dipanggang oleh pemanggang tempatan, Arkib Kopi. Nota rasa biji kopi ini adalah kranberi, anggur hitam, pinot noir dan coklat. Markah cawan bagi biiji kopi ini adalah 88.25. Barista telahpun menyiapkan segala peralatan dan terus mengisar biji kopi tersebut. Selesai sahaja dikisar, barista menyerahkan kisaran kopi untuk dihidu. Bau yang paling kuat sekali adalah bau anggur hitam dan juga barangkali pinot noir tersebut. Baunya sangat harum dan ketara. Barista pun memulakan seduhan. Resepi yang menjadi pilihan barista adalah sedikit kurang dari 1:15 nisbah kopi kepada air dan dengan tiga kali tuangan dimana tuangan pertama 30g air digunakan untuk 30 saat bagi proses ‘blooming’, tuangan kedua sehingga 110g air dan akhir sekali tuangan hingga 215g. Barista menuang air hanya pada kawasan tengah kopi untuk memberikan ‘bed’ kopi yang berbentuk kon. Kopi disajikan di dalam server beserta cawan seramik di dalam dulang besi beserta kad informasi biji kopi yang dipilih. Hirupan pertama dan anda terus dapat mencium bau anggur hitam tersebut yang barangkali berkait rapat dengan nota rasa kranberi dan pinot noir. Sangat sedap dan menarik. Jika anda biarkan kopi tersebut untuk sejuk buat seketika, nota rasa adalah lebih terselah beserta dengan rasa masam buah yang agak kuat. Pilihan kopi bagi tuang lalu berubah mengikut ketersedian biji kopi kerana sesetengah biji kopi mempunyai stok yang agak terhad dan mungkin berada di luar musimnya.

 

 

 

 

Kredit Imej: Iqbal Sukor

 

Waktu Perniagaan

Isnin (10:00 – 22:00)

Selasa (10:00 – 22:00)

Rabu (10:00 – 22:00)

Khamis (10:00 – 22:00)

Jumaat (09:00 – 22:00) (Solat Jumaat – 13:00 – 15:00)

Sabtu (Tutup)

Ahad (Tutup)

Alamat Sulb, Kedah

Pekan Simpang Kuala, 05300 Alor Setar, Kedah

Penafian:

Segala tulisan di atas merupakan pandangan peribadi saya sendiri dan mungkin tidak mencerminkan situasi sebenar bagi pihak lain. Saya tidak memiliki apa-apa perniagaan dan segala perniagaan yang dikongsikan adalah pemilik empunya.
Ikuti saya di IG dan Twitter:

Iqbal Sukor wearing colorful shirt using camera and facing forward

@iqbalsukor

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *