Kohii Kafe, Geogetown, Penang

Kohii, Geogetown, Penang.

 

  

Dalam perjalanan ke Penang, saya telah menerima mesej di akaun Instagram saya. Rupanya, sebuah pemilik kafe telah menjemput untuk ke kafenya untuk menikmati secawan dua kopi.

Setelah gagal mencari papan kekunci di Komtar untuk memudahkan penulisan ulasan pada masa akan datang, saya dan adik memutuskan untuk ke kafe yang dinamakan Kohii Board Games Cafe. 

Mengapa ia diklasifikasikan sebagai kafe permainan papan? Sebelum bermulanya perniagaan kafe, mereka menjual pelbagai permainan papan dan sekarang merupakan penjual nombor dua terbesar Malaysia. Hanya 3 tahun yang lalu, pemiliknya Xin Yuan Yu, jatuh cinta dengan kopi dan telah membuka kafe ini. Jadi, anda boleh menikmati kopi sambil bermain pelbagai jenis pemain papan di sini. Satu aktiviti yang sangat bermanfaat di zaman manusia yang menghadap skrin telefon pintar.

Kafe ini merupakan kafe mesra muslim kerana walaupun mereka tidaklah mengambil sijil halal, namun semua bahan bahan masakan adalah halal kerana rakan pemilik juga merupakan muslim. Jadi, tuan kedai sangat memahami dan mempunyai kesedaran akan makanan dan minuman yang boleh diambil oleh orang muslim.

 

Masuk sahaja ke dalam kafe tersebut, boleh kelihatan sebuah mesin Rocket Appartamento yang digadingkan dengan pengisar Mahlkonig EK43. Kedua-duanya merupakan sebuah setup yang menunjukkan tuan kafe sangat serius dalam penyediaan kopinya. Pelbagai alatan berjenama lain juga digunakan dalam penyediaan kopi sepertia ‘distributor tool’, ‘tamper’, penimbang dan juga lain lain.

Jom sembang tentang kopinya. Kami pada mulanya telah memesan Cold White dan kopi tuang lalu menggunakan biji kopi Ethiopia Gesha Village Oma Gesha Green Label. 

Cold White nya menggunakan kopi dari Brazil yang dipanggang cerah (light roast) di mana saya meyangkakan ianya adalah panggang sederhana. Bau kopi yang sangat harum dan juga seperti seakan akan kayu manis atau rempah yang lembut dapat dihidu. Rasa kopi yang lembut beserta susu yang berlemak memberikan rasa caffe latte yang sangat seimbang dan sedap. Kata pemilik, biji kopi yang digunakan mendapat skor rasa 80.5/100.

 

Bagi kopi tuang lalu pula, ia dihidangkan dalam ‘server’ dan kami diberikan dua jenis cawan. Satu berbentuk seakan-akan yang digunakan untuk teh cina dan sebuah lagi berbentuk seakan kon (besar di bawah dan mengecil di atas). Menggunakan cawan teh cina tersebut, rasa asiditi yang cerah terus dapat dirasai. Menggunakan cawan kon pula memberikan rasa yang lebih seimbang dan manis. Meminum kopi ini pada suhu yang berlainan juga memberikan rasa yang berlainan. Sangat menarik kerana rasa antara dua cawan dapat dirasai dengan jelas. Saya tahu bahawa jenis cawan dapat mengubah rasa kopi , namun ini kali pertama saya mengalaminya sendiri.

 

Sebelum balik, saya ingin membeli secawan kopi bagi mama dan kakak yang tidak turut ikut bersama. Jadi saya telah memesan minuman espresso asal tunggal mereka yang menggunakan biji kopi Ethiopia Yirgacheffe Midsummer Night Moon. Sungguh terasa kelainannya dengan nota rasa ros, beri campuran, buah pic dan jus oren. Yang saya dapat rasakan adalah sedikit bauan ros, rasa beri campuran dan rasa akhir jus oren tersebut. Dengan harga RM20 secawan, ia semestinya sangat berbaloi.

Sebuah lagi minuman yang dipesan adalah Iced Matcha Latte. Hirupan pertama dan saya terus boleh merasakan haruman matcha tersebut dengan rasa manis berlemak tanpa rasa pahit langsung. Ia mempunyai tekstur yang berkrim dan terasa kepekatannya. Sangat sedap dan mungkin matcha yang paling sedap saya pernah rasa.

Sepanjang di kafe tersebut, kami berkesempatan bersembang dengan pemilik dan barista tersebut. Pemiliknya bukanlah seorang peminum kopi, namun setelah menikmati ‘specialty coffee’ yang dihidangkan oleh rakannya (seorang pemilik kafe specialty coffee di Penang juga), beliau telah jatuh cinta dan mengejar minat tersebut. Semua menu adalah hasil percubaan dan penyelidikan beliau. Katanya, dia seorang yang ‘perfectionist’, jadi jika minuman tersebut tidak kena dengan tekaknya sendiri, ia tidak akan disajikan. Hanya yang terbaik sahaja boleh disajikan. Semua biji kopi telah dipilih dan dipanggang sendiri dalam kumpulan kecil setiap minggu. Panggan cerah dijadikan pilihan kerana beliau ingin orang ramai menikmati nota rasa asli kopi tersebut tanpa rasa panggang mahupun karamel yang kuat. Jadi setiap aspek dalam secawan kopi itu dari proses memanggang biji kopi hingga disajikan dikawal rapi oleh pemiliknya. Beliau memang seorang yang sangat berilmu dan mempunyai minat yang sangat mendalam dalam dunia ‘specialty coffee’.

 

Akhir kata, saya sangat bergembira dapat menikmati kopi kopi yang disajikan. Saya sememangnya seperti jatuh cinta kembali dengan kopi. Semua minuman adalah sangat sedap, berkualiti dan sesuai dengan harganya. Harus diingatkan bahawa harganya adalah sedikit mahal, namun sesuai dengan taraf ‘specialty coffee’ tersebut. Jika anda seorang peminum kopi specialty, Kohii Board Games Cafe harus dijadikan destinasi seterusnya.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *